Kamis, 19 Desember 2013

5 Langkah Membina Iman dan Taqwa

“Iman tak dapat diwarisi..dari seorang ayah yang bertaqwa..” Masih ingat bait lagu ni?? ^_^ lagu IMAN, nyanyian kumpulan nasyid pertama di Malaysia, Raihan! Terima kasih kepada Raihan kerana menyampaikan lagu-lagu yang sangat padat dan mampat dengan mesej yang berguna untuk kita fikir-fikirkan dan yang paling penting, AMALKAN...
Di sini, ingin sekali saya kongsikan 5 Langkah Membina IMAN & TAQWA.sebagai peringatan untuk diri sendiri dan kita semua..:

1. Mu’ahadah (Mengingati Perjanjian)

Ini merupakan langkah awal yang harus dilakukan oleh setiap individu Muslim. Iaitu mengingati kembali perjanjian kita dengan Allah s.w.t mahupun terhadap diri sendiri.
Lima kali setiap hari kita menuturkan di dalam doa iftitah, ”Sesungghnya solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” inilah janji yang kita ungkapkan sehari-hari kepada Allah yang mesti kita tepati. Janji ini jugalah yang membawa kita mentaati segala perintahNya, dan menjauhi segala yang dilarang. Bila sebut janji, mesti kena tepati. ”Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji..”(Surah An-Nahl: 91)


2. Muraqabatullah (Merasakan pengawasan Allah)

Sentiasa kita merasakan bahawa Allah melihat dan mengawasi setiap pergerakan dan perbuatan samada secara terang-terangan mahupun sembunyi. Sesungguhnya bagi mereka yang beriman tahu bahawa Allah itu Maha Melihat. Dan Dia mengarahkan malaikat raqib dan ’atid untuk mencatat segala amalan yang manusia lakukan.
Ini mendorong seseorang hamba itu melakukan setiap pekerjaan dengan hati yang ikhlas kerana Allah, di samping dapat menimbulkan rasa takut untuk melakukan dosa atau maksiat. Firman Allah yang bermaksud: ”Yang Melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan solat). Dan (melihat) gerak-gerimu antara orang yang sujud.” (Surah al-Syu’ara’ : 218-219)


3. Muhasabah (Menilai Diri) 
 
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ”Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat Menyeluruh PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.“
Daripada firman di atas, dapat difahami bahawa kita sebagai hamba perlu sentiasa menghisab diri dan menghitung amalan yang dilakukan setiap hari.
Sebagaimana pesan pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, sebelum tidur, ingat kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang hari tersebut, seandainya dalam satu hari itu yang tidak baik lebih banyak dari yang baik, beristighfarlah, mohon keampunan Allah dan berazamlah untuk melakukan yang lebih baik pada keesokan harinya.
Seandainya pada hari itu banyak perkara kebaikan yang dapat kita lakukan, maka berazamlah untuk melakukan yang lebih baik pada hari esoknya. Ini kerana sebagai manusia, saya pasti kawan-kawan semua juga tahu, kita tidak boleh merasa berpuas hati dengan amalan yang kita lakukan. Sentiasa perlu ada rasa rendah diri dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untukNya.
Suka untuk saya kongsi salah satu dari hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya.”
Jadi, marilah kita sama-sama menjadi salah seorang dari kalangan mereka yang diberi jaminan sebagai hamba yang bersyukur dan sabar sebagaimana yang Nabi bersabda. Mudah saja kan? Dalam hal keimanan, bandingkan kita dengan mereka yang lebih tinggi keimannya dan amalannya kepada Allah, agar kita sentiasa merasa kurang dalam ibadah yang dilakukan, dan berusaha untuk sentiasa memperbaiki amalan. Jangan kita bandingkan dengan mereka yang lebih kurang penghayatannya terhadap agama. Nanti wujud pula rasa takabbur dengan apa yang kita lakukan.
Dan dalam soal duniawi, seperti kekayaan, kecantikan, dan segala bentuk nikmat duniawi yang kita pinjam dari Allah, tidak perlulah untuk kita bandingkan dengan mereka yang lebih dari kita. Ini kerana boleh mengundang rasa hasad dengki dan tidak bersyukur atas apa yang Allah kuniakan. Setiap apa yang Allah beri pada kita, sama ada kurang atau lebih dari orang lain, hendaklah sentiasa kita ucapkan alhamdulillah sebagai tanda syukur. Setiap kejadian Allah itu pasti ada hikmahnya.
Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith di atas, dalam hal ini, kita kena bandingkan dengan mereka yang kurang dari kita. Sebagai contoh yang saya berikan tadi, kekayaan dan kecantikan. Perlu diingat akan mereka yang jauh lebih susah dari kita, yang mungkin kais pagi makan pagi. Ada yang dua hari sekali makan. Jangan pula merungut, ”sarapan dengan roti lagi? Hari-hari makan roti, bosanlah!” Hmm..tak baik macam tu.. sebaliknya ucapkanlah, ”makan roti? ”Alhamdulillah, ada juga rezeki kita pagi ni.” ^_^ kan lebih manis..
Tetapi awas! Bersyukur bukan bermakna tidak berusaha dan hanya terima bulat-bulat apa yang kita ada. Islam tak macam tu.. contohnya dalam kekayaan, kita kena berusaha dengan kudrat yang Allah beri untuk mencari rezeki dan menambah baik kehidupan. Dan dalam kita berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang sah di sisi Islam mencari rezeki, bersyukurlah dan jangan merungut dengan hasil yang kita peroleh.
Sementara mereka memiliki kehidupan yang selesa atau mewah, jangan pula berhenti usaha dan tidak berdoa agar dimurahkan rezeki dari Allah. Ini boleh menyebabkan kita jatuh dalam golongan mereka yang sombong. Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya. Mohonlah selagi bernyawa..dan salurkanlah kekayaan yang kita ada ke jalan yang diredhai.
Sambung kembali kepada langkah membina iman dan taqwa yang ke:


3. Mu’aqabah (Menebus dan Membersihkan kesalahan)

Setiap kali kita merasakan diri tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Jangan kita tunggu dosa ataupun kesalahan kita itu bertimbun hingga hati tidak lagi menjadi sensitif dengan dosa yang dilakukan dan merasa sukar untuk dibersihkan.
Seandainya kita sedar ketika melakukan kesalahan, sepat-cepatlah memohon keampunan Allah di samping berusaha untuk tidak mengulanginya. Jangan hanya beristighfar, merasa tenang, dan kemudian kembali melakukannya.
Sesungguhnya Allah amat suka kepada hambaNya yang meminta ampun (beristighfar) kepadaNya kerana saya dan rakan-rakan juga tahu bukan, Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani. Allah Taala berfirman yang bermaksud: ”Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nisaa’: 10)


5. Mujahadah (Berjihad melawan nafsu dan beroleh keredhaan Allah)

Inilah langkah terakhir yang paling penting iaitu kita bersungguh-sungguh berusaha untuk menjauhi segala larangan atau dosa sama ada yang pernah kita lakukan mahupun perkara-perkara lain yang kita lihat dan tahu ia adalah satu dosa meskipun tidak pernah kita lakukan.
Jihad melawan nafsu adalah salah satu jihad yang dituntut. Berjihad melawan nafsu bermaksud membersihkan jiwa dan menyucikan hati dengan dengan sifat-sifatnya yang keji untuk diisi dengan sifat-sifat mulia dan tepuji.
Sebagai seorang mahasiswa atau lewat remaja, suka saya datangkan contoh dari keterangan di atas dengan CINTA. Cinta adalah fitrah manusia. Cinta juga anugerah dari Allah untuk hamba-hambaNya. Cinta itu bersifat suci. Namun, ramai manusia yang menjadikannya kotor dan keji.
Dalam kita menyulam fitrah itu, sebagai Muslim, wajib untuk kita salurkannya ke jalan yang telah digariskan oleh Allah. Berusaha menjauhi diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam bercinta, dan salurkan atau hiasi rasa fitrah ini dengan cara yang betul dan selari dengan syariat agama.
Para ulama’ tasawuf berkata: ”Mujahadah terhadap nafsu ialah jihad akbar atau jihad paling utama dan terbesar kerana musuhnya tidak kelihatan.” Apabila sebut jihad terbesar, pasti ganjarannya juga besar.
Moga-moga dengan lima langkah yang dapat saya kongsikan bersama teman-teman semua dapat kita sama-sama hayati dan berusaha mengamalkannya. insyaAllah berkat niat yang ikhlas dan usaha yang istiqamah kita diberkati dan dipermudahkan oleh Allah.. Ameen..
Ingin saya sertakan firman Allah yang bermaksud: ”Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah, bersama orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut: 69). Wallahu a’lam...

Tidak ada komentar:

Hukum “Pedekate” dengan Facebook dan Alat Komunikasi / sosmed Lainnya

Assalamualaikum wr.wb. Berikut ini adalah salah satu hasil bahtsul masail diniyyah atau pembahasan masalah keagamaan oleh Forum Musyawarah P...